Seraut Pensel, Setitis Tinta dan Secarik Kertas

December 31, 2005

BICARA KOMIX: MEREALISASIKAN SEBUAH FANTASI

Filed under: Uncategorized — kalamtimur @ 2:52 pm
BICARA KOMIX: MEREALISASIKAN SEBUAH FANTASI BAHAGIAN KETIGA:

Dalam keluaran yang lepas, penulis telah menyentuh beberapa komik-komik yang dihasilkan oleh beberapa nama besar dalam tahun-tahun 70an dan 80an Kemunculan majalah humor Gila-Gila mengganti MAD tidak dinafikan telah mengalih pandangan dan arah pelukis-pelukis komik serious kepada yang lawak jenaka. Jaafar Taib, Azman Yusoff, Mishar dan Zainal Buang Hussein telah menubuhkan syarikat penerbitan Creative Enterprise setelah SUARASA tidak seaktif seperti sebelumnya.

Jaafar Taib cukup sinonim dengan sketsa Kalau nya, sebuah hasil karya lawak tanpa dialog. Pembaca tentu sekali masih ingat lakaran beliau yang bersahaja. Penulis kalau tidak lupa, Gila-Gila keluaran pertama diterbitkan dalm tahun 1978 (ketika itu penulis masih mengganggur). Hiasan kulit diilustrasikan oleh Zainal Buang Hussein. Azman Yusoff pula menghasilkan Lipat-lipat yang diletakkan dibelakang kulit. Memang sekali imbas dilihat, majalah tersebut seperti majalah MAD dengan rupa bentuk maskheadnya, siri KALAU dan Lipat-Lipat. Don pula menghasilkan komik karikatur berdasarkan filem-filem Melayu yang ditayangkan dalam pembikinan waktu itu seperti yang dilakukan oleh majalah MAD. Zainal Osman (Nan) yang terkenal dengan komik stripnya di Utusan Malaysia, Din Teksi pula menghasilkan kartun Ayop Anak Tulakang. Kartun tersebut berkisah seorang usahawan cekodok di kota yang berjaya menjadi usahawan yang multi-billionaire.

Pada peringkat awal Gila-gila ada persaingan yang serupa dikalangan pelukis-pelukis dan kartunis-kartunis seperti Kartekana, Mojo, Nin, Poe, Nawiah Kassim, Yusof Osman (YO), Dinie Jurie, Namron tetapi Gelihati tidak bertahan lama. Penerbitnya lebih menumpukan kepada majalah-majalah komersil, akademik serta hiburan. Bukan sekadar fantasi tetapi dalam dilema mengejar realiti, karyawan-karyawan dahulu telah menyahut seruan kerajaan untuk menaikkan taraf orang-orang Melayu dalam dunia perniagaan. Apa yang digambarkan dalam majalah GG mempunyai mesej yang tersendiri. Tersurat dan tersirat. Allahyarham Rejabhad, bekas seorang tentera RAMD tyang pernah berkhidmat di Congo dengan PBB dimartabatkan sebagai Penghulu GG dan sekaligus Raja Kartun Malaysia, begitu banyak jasanya. Beliau telah ramai mendidik kartunis-kartunis melalui Senyum Skot dan Mekar di GG. Salah seorangnya ialah Cabai, Whitesnake, Ajin (Blackrose), Ujang, Kulat, Ambo, Alifstyle (sekadar menyebut beberapa nama sahaja).

Majalah GG cukup terkenal sehingga pejabat Creative Enterprise setiap musim cuti sekolah dan pusat pengajian tinggi seringkali dikunjungi oleh rombongan dari sekolah dari ceruk-ceruk desa dan bandar. Creative Enterprise membuka pintunya kepada pelawat-pelawat untuk melihat kartunis-kartunis berkerja. Dengan itu peminat-peminat mudah mengenali kartunis-kartunis yang menjadi idola mereka seperti Don, Long, Tarzidi, Ujang, Aloy, Cabai (satu-satunya artis wanita ketika itu), Kulat dan ramai lagi. Gila-gila bukan sahaja berjaya menarik perhatian kaum muda, malah berjaya memikat pembaca yang mempunyai akademik tinggi. Artikel-artikel yang serious walaupun dalam bentuk satira disumbangkan oleh Datuk A. Samad Ismail, Malungun, Prof. Khoo Kay Kim dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, Creative Enterprise sebagai penerbit komik ulung ketika itu, menerbitkan majalah komik FANTASI. Tidak kerterlaluan jika dikatakan, penerbitan FANTASI ialah untuk memberi peluang kepada ramai pelukis yang agak serious dalam menghasilkan karya bertaraf dunia. Hasilkarya graduan lepasan ITM dan pusat pengajian tinggi ditonjolkan dalam majalah ini meliputi dari komik, teknik airbrush, warna air, minyak, akrilik, seni arca dan termasuk seni hiasan dalaman. Mereka diberi penghormatan yang sewajarnya oleh pihak penebit. Pelukis-pelukis komik yang cukup terkenal di majalah FANTASI ialah Azman Yusoff, Mohas, Jelani Abu Hassan, Ahmad Kamil, Nizam Bachok, Johari Ramli (Pot Jr), Shah, Weman, Jimmy Kong manakala penulis-penulis terdiri dari Adi Al Hadi, Elias Hj. Zaidi dan Muliyadi Mahamod.
Ramai kartunis pernah duduk dibawah bumbung GG dan ramai juga yang membawa haluan masing-masing. Entahlah kenapa, mungkin keadaan pada masa itu mengizinkan mereka membawa haluan masing-masing. Ada yang menubuhkan syarikat sendiri dengan menerbitkan majalah-majalah humor. Persaingan yang sihat, justeru itu lahirnya majalah-majalah humor seperti Batu Api, Mat Jenin, Cabai , Ujang dan lain-lain. Pelukis.kaertunis dan penulis berbakat besar Ujang sendiri ramai mendidik kartunis dibawah syarikat penerbitannya ketika itu, majalah Ujang. Antaranya ialah Aie (yang cukup terkenal dengan Abe dan Blues Untukmu) Duku, Nik, Sukun dan ramai lagi serta diperkuatkan dengan kemasukan Gayour (Gelihati) dalam syarikat tersebut.

Di era tahun 90an, begitu banyak majalah kartun sehingga penulis hendak mencari waima sebuah komik serious pon agak sukar. Majalah RILEKS terbitan Tatsun yang cukup popular dengan komik Lagenda 2000 telah berjaya menambat hati setengah pembaca setelah FANTASI menyepi. Walaupun begitu, RILEKS tidak dapat bertahan lama, penulis kurang arif mengapa RILEKS tidak dapat mempertahankan popularitinya. Barangkali dengan faktor persaingan majalah-majalah humor seperti Lanun, Ujang, APO? atau disebaliknya. Tidak lama selepas itu GEMPAK dari Art Square Creation (Mei 1998) dan UrbanComics dari Urban Revolution pula menjadi trendsetter.

GEMPAK lebih mirip kepada komik lawak ala anime dan Urbancomics lebih kepada komik serious. Penerbitan kedua-dua majalah komik ini memberi satu impak kepada penerbitan komik tanah air. Lahirlah pelukis-pelukis komik dan kartun alaf baru seperti Apoh, Taufan Pesaka, Fakhroul Anour, Kenny, Kaoru, Aimo (Gempak). Azhar, Adijin, Milx, Aim, Kromosom, Joker IX, White, Use Rizal, Zul Fadli, Zul Lee, Mafia, Peenut (Urbancomics) dan ramai lagi. Pada masa yang sama komik-komik seperti Kluangman, Blues Untuk Mu, AIE (Alternatif Indie Entertainment), ROCK, TNT, Chatterz menghasilkan ramai pelukis berbakat seperti Toyon, Tembakau, Aie, MF Ajif, Jackall (penulis tidak berapa ingat nama-nama pelukis dan komik-komik lain, dengan maaf).

Penerbit-penerbit di atas, tidak lupa juga mengadakan pertandingan dan kelas tutorial melukis komik untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru. Hasinya lahirlah buku-buku koleksi Bakat Baru Komik Malaysia 2002 dan 2003 yang diterbitkan oleh Gempakstarz. Dalam mencari tempat untuk berkarya, pengiat-pengiat muda bukan sahaja dapat menyertai pertandingan dan menghantar karya sekali gus malah mereka boleh menjalinkan diskusi melalui forum-forum yang diadakan di website seperti di http://www.pergh.com/forum/, http://www.sifoo.com/, http://www.deviantart.com/ dan http://www.urbancomics.com Malah ramai pelukis bebas yang telah beriniasiatif menghasilkan website mereka sendiri untuk mempromosikan hasil karya mereka.

Penerbit komik bebas alternatif UMBRA telah memberi laluan kepada pelukis-pelukis amatur seperti Nurie, Alifstyle, Invictus, Mafia, Iki, Kimball, Odows, Ard-One, Axeral, Petrakus3D dan ramai lagi yang akan muncul. Pergh.com telah begitu besar jasanya, syabas kepada foundernya saudara Mysticmind, co-founder Agent, administrator Azarimy (UK), moderator-moderator Bootargh, Alyridura (pelukis komik ROCK), Ubdertaker, Petrakus3D, Rio dan rakan-rakan sealiran seperti Madstone, Waverider (Mesir), Hairi (Mesir/PTS Millennea One), Adzakael (Australia), Keribang (Sarawak), Icesoul, Alifstyle, Izam, Odows, Kimball, Zedd, Invictus, Gemuruh, Mikestation, Star, Thirtynine, Takara, Tarakucha, Ensalim, Buckshot, Leydi, Angel, Farah, Kiyaa, Jaymanjohn, Chulanmuiz dan penulis-penulis seperti Panaharjuna, Matrush, Madhatter, Ruby dan lain-lain yang tidak disebut. Semoga idea-idea dan hasil diskusi anda sekalian akan mencetus realiti. Biarpun di mana berada, namun satu arah dan satu tujuan. Gathering yang sekejap dikalangan warga pergh pada 31 Ogos di KLCC yang lalu juga menampakkan perkembangan yang sihat apabila ada dikalangan mereka ini mengeluarkan zine-zine mereka sendiri. Maxima Zine, CARGAS, Synthesizer, Core Peeps dan Fusion bakal meledak dipasaran terbuka sekiranya pembaca diluar sana berminat untuk mendapatkannya. Mato-mato, Fantasia, E-zine dan majalah mainstream yang lain sedang berada di pasaran bersaing secara sihat. SOKONGLAH KOMIK MALAYSIA.

Wallah’hualam.
Ubdertaker – Kuala Lumpur / Kalam Timur- Kuala Terengganu
http://www.umbracomix.com/forum/
3 September 2004

Advertisements

BICARA KOMIX: SATU PERSEPSI

Filed under: Uncategorized — kalamtimur @ 4:06 am

BICARA KOMIX: SATU PERSEPSI
BAHAGIAN KEDUA

Kebanjiran komik-komik luar negara terutama yang diimport dari Hong Kong, Jepun mahupun US telah mendorong penulis berfikir sejenak. Apakah fenomena yang berlaku sedemikian rupa? Tidak adakah satu identiti komik tanahair? Jawapan mungkin ya atau mungkin tidak. Lantaran itu penulis tercari-cari jawapan sehingga bulan Jun 2002, penulis kebetulan sedang dan tengah tergila-gila mencari sumber komik tempatan melalui internet. Penulis secara tidak sengaja telah terjumpa alamat http:// http://www.pergh.com dan http://www.urbancomics.com . Kedua-dua laman tersebut membicarakan aktiviti dan forum komikus-komikus dan para multimedia secara on line.

Nampaknya dengan ledakan IT dan internet telah menjadi medium para pelukis-pelukis muda mempamerkan hasil kreativiti mereka secara “comics online”. Suatu platform para penggiat komik mendedahkan hasil karya mereka kepada umum. Namun, penerbitan komik terus berjalan seperti biasa selari dengan arus kebanjiran komik-komik luar negara yang dialihkan ke Bahasa Melayu.

Sebut sahaja nama Lat, Jaafar Taib, Azman Yusof, Nan, Imuda, Reggie Lee, Zaharuddin Sarbini, Athool, Zint, Ben, Kaoru, Farhul, Taufan Pesaka, Aie, Maro, Shah, Adijin, Milx, Joker IX, Jackall, Petai, Oren, Lambok, tentu sekali ramai penggemar komik kenal nama-nama ini. Bagaimana nama-nama ini Halim The Alias Kulup, Nik Nordin, R. Hamzah, Sulaiman Masri, Othman Zainuddin, Dini Juri, Jimmy Kong, Marzuki, Maarof Awang, Gopa, Pot Jr, kenalkah pembaca-pembaca akan mereka?

Penulis setelah lama meninggalkan kerja-kerja melukis komik. Hampir 30 tahun, penulis hanya memerhati perkembangan komik secara jauh. Apa yang mendorong penulis untuk kembali bergiat dalam bidang ini? Jawapannya ialah untuk melihat kembali martabat komik tanahair meriah kembali. Barangkali pembaca-pembaca mungkin tertanya-tanya siapakah penulis? Beberapa buah komik yang dihasilkan penulis? Jawapanya tidaklah sebanyak mana. Kalau penulis memberikan judul-judul seperti Jaya Satria dan Pendekar Gunung Saga. Tentu sekali para pembaca tidak pernah membacanya. Penulis menghasilkan komik-komik bersaiz kecil tersebut ketika menunggu keputusan peperiksaan MCE/SPM pada tahun 1974. Ketika itu dipasaran harga komik cuma sekitar 50 hingga 60 sen sebuah. Nama-nama besar pelukis komik tempatan ketika itu ialah allahyarham Nik Nordin, Razali MHO atau Rizalman, Azman Yusof, Jaafar Taib, ZOY, Yamin Daud, Khuzae (sekadar menyebut beberapa nama sahaja).

Sebut sahaja nama Datuk Lat, Jaafar Taib, Azman Yusof, Nan, Imuda, Reggie Lee, Zaharuddin Sarbini, Athool, Zint, Ben, Kaoru, Farhul, Taufan Pesaka, Aie, Maro, Shah, Adijin, Milx, Joker IX, Jackall, Petai, Oren, Lambok, tentu sekali ramai penggemar komik kenal nama-nama ini. Bagaimana nama-nama ini Halim The Alias Kulup, Nik Nordin, R. Hamzah, Sulaiman Masri, Othman Zainuddin, Dinie Juri, Jimmy Kong, Marzuki, Maarof Awang, Gopa, Pot Jr. Kenalkah pembaca-pembaca akan mereka ini?

Bagaimana timbul minat melukis komik? Ketika itu filem dan komik mungkin tidak dapat dipisahkan. Komik ketika itu dijadikan sebagai bahan bacaan dan hiburan ringan selain daripada menonton filem-filem di pawagam. Mungkin pembaca bersetuju atau disebaliknya dengan penulis. Tidak dapat dinafikan, penulis seringkali terpengaruh dengan filem-filem aksi pertarungan dan kungfu dari Hong Kong atau Indonesia. Filem-filem yang hebat dari Indonesia seperti Si Buta Dari Goa Hantu dan sequelnya sebenarnya dihasilkan dari cerita komik oleh pelukisnya Jan Mihardja. Karya-karya lain pelukis ini seperti Iblis Mengamuk Merapi dan Si Mata Siwa yang dibawa masuk oleh Penerbitan Fargoes merupakan siri komik yang paling penulis gemari.

Begitu juga, penulis amat meminati komik-komik terbitan Penerbitan Knight yang beroperasi di Kuala Lumpur seperti komik-komik PERKASA (Nik Nordin), Awang Janggut (Razali MHO), Pahlawan Kebal (Mohas) dan Tiada Maaf Bagimu (Azman Yusof). Keempat –empat komik yang diterbitkan dalam saiz kecil itu terbit serentak dalam sebulan. Di belakang komik-komik tersebut terdapat iklan dari penerbit mengkehendaki komik-komik dalam format 40 muka surat. Sementara menanti keputusan peperiksaan, penulis mencari idea melalui pengamatan dan tontonan filem-filem di pawagam. Tidak ada pembelajaran melukis komik secara formal. Tanpa membuang masa, penulis yang tiada pengalaman melukis komik hatta menulis skrip komik pun tidak ada, terus mengambil kertas lukisan dan melakar karekter ke atas kertas. Apa yang ada ketika itu, cuma sebuah idea yang terletak di dalam kotak fikiran. Penulis tidak mencatat apa-apa idea pada kertas.

Kedaifan penulis dalam melukis komik ketika itu ialah hasil pengamatan dan buah fikiran sendiri. Jarak, waktu dan tiada kemudahan telefon di rumah ketika itu menyebabkan penulis tidak menghubungi sesiapa yang lebih arif dalam bidang ini. Penulis pernah bercadang untuk ke Kuala Lumpur menimba pengalaman dalam bidang tersebut. Sebagai seorang anak yang patuh kepada ibubapa, niat penulis dipendamkan sahaja. Penulis secara berani telah berjaya menghasilkan komik berdasarkan syok sendiri. Beberapa bulan selepas itu, penulis cukup bangga menunjukkan komik-komik yang diterbitkan itu kepada kawan-kawan dan sanak saudara. Beberapa bayaran yang penulis dapat? Mungkin agak lucu dan ditertawakan kawan-kawan sebab bayaran untuk melukis komik-komik tersebut tidak pernah penulis tengok pun. Pun begitu semangat tidak pernah pudar.

Penulis terus melukis dan menghantar karya di beberpa penerbitan namun tiada jawapan penerimaan. Tidak juga dikembalikan komik-komik yang ditolak. Sehingga lah sewaktu ketika GILA-GILA meledak dan laris di pasaran bak goreng pisang panas. Penulis cuba berjinak-jinak menghantar tulisan berbentuk humor di kolum 4 Penjuru Alam di majalah humor tersebut. Penulis amat berbangga apabila tulisan tersebut diterbitkan. Ketika mula menjawat jawatan tetap di Sabah, penulis cuba-cuba melukis kartun dan telah disiarkan di kolum Senyum Skot. Untuk pertama kali, penulis merasa bayaran sebanyak RM15 secara tunai disampaikan oleh Rejabhad yang ketika itu datang ke Sabah untuk mencari lokasi dan ceritanya Panau-Panau Di Sabah. Lantaran kesibukan dengan tugas telah menyebabkan penulis berehat buat 3 dekad dalam penghasilan komik.

Alatan dan kertas yang penulis guna untuk menghasilkan komik pada waktu itu mengikut kesesuaian penulis. Memang tiada rujukan atau belajar secara formal dari mana-mana pelukis komik yang hebat. Pendek kata, penulis main belasah sahaja. Pen yang digunakan adalah sejenis fountain pen berjenama Hero dari China. Dakwat melukis pula dari jenis dakwat Cina dan India. Setelah mulai faham konsep melukis komik melalui pengamatan dan pembacaan komik-komik terbitan Suarasa dan Mediaseni, penulis mula mengerti jenis-jenis pen dan berus yang digunakan oleh pelukis-pelukis tersohor. Ketika itu pelukis seperti Suhaimi Salleh sudah pun menggunakan efek transperansi untuk shadowing seperti komik-komik manga sekarang ini. Maka penulis pun menyimpan wang saku untuk belanja sekolah. Tujuannya ialah membeli jenis-jenis pen yang lebih mahal seperti technical pen “Staedler”. Kertas pula dari jenis radio-bond, sejenis kertas taip.

Sekarang terdapat beberapa jenis pen melukis yang disposable dan kertas melukis 70 hingga 80 gms dari saiz A4 ke saiz A3. Ketika itu tiada kemudahan komputer dan aksesori lain seperti tablet-pen serta perisian digital yang canggih untuk menghasilkan komik lebih up to date. Tiada lightbox atau kotak cahaya dan alat pengimbas untuk membantu penulis membuat pembaikan dan tracing semula lakaran asal. Kini dengan adanya alatan dan aksesori seperti itu telah banyak membantu pelukis-pelukis komik menghasilkan komik dengan lebih baik. Pelukis-pelukis komik di era digital banyak dibantu dengan perisian Adobe Photoshop, Illustrator, Corel Painter X dan Flash Macromedia.

Mampukah penulis kembali mengasah pensel? Yang ada cuma harapan yang disandarkan semoga pengiat-pengiat komik dapat menggunakan segala sumber yang ada untuk meningkat martabat komik tanah air. Wallah’hualam.

Kalam Timur
Kuala Terengganu

1 September 2004

Blog at WordPress.com.